Sunday, October 25, 2009

Hikayat-hikayat Melayu lama ada menyebut dan menggambarkan bahawa semenjak permulaan Kesultanan Melayu Melaka lagi dirasakan tidak lengkap jika seseorang yang memakai baju kebangsaan tidak menggunakan penutup kepala untuk menghadiri sesuatu upacara rasmi seperti menghadap pembesar negeri dan daerah. Bentuk penutup kepala tidaklah ditetapkan tetapi sangat terikat dengan jenis kain yang digunakan untuk membuat pakaian.
Tinjauan yang dijalankan secara sepintas lalu membuktikan bahawa dakwaan ini adalah benar. Mengikut cerita lisan dan rekod-rekod lama yang boleh dipercayai, kononnya semenjak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lagi rakyat biasa, tanpa mengira bangsa dan agama, dimestikan berpakaian istiadat sebelum dibenarkan menghadap sultan. Justeru itu seseorang dianggap tidak kemas sekiranya tidak menutup kepala atau mengikat rambutnya yang panjang dengan secebis kain ataupun dengan seutas tali kulit kayu atau kulit kambing yang lebarnya lebih kurang 1 � inci sebelum menghadap Sultan.

Tengkolok

Sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka tengkolok seperti yang terdapat pada masa sekarang belum lagi dicipta, tetapi memadailah jika seseorang itu menutup atau mengikat rambut yang panjang supaya kelihatan kemas. Ikatan kain ini semakin lama semakin cantik diolah dan diubahsuai mengikut taraf seseorang itu sehinggalah sekarang.
Orang Melayu Melaka telah menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mengubah dan merekabentuk sehelai kain empat segi untuk dipakai sebagai penutup kepala. Kini pakaian tengkolok sering digunakan oleh pengantin lelaki semasa bertandang dan bersanding di atas pelamin pada hari pertama istiadat perkahwinan dilangsungkan. Semasa bersanding di atas pelamin mereka dianggap sebagai raja kerana mereka berpakaian lengkap seperti seorang raja yang bersemayam di atas takhta. Tengkolok yang dipakai oleh pengantin lelaki pada masa sekarang dihiasi dengan barang kemas untuk menambahkan seri dan kekacakan pengantin.
Apabila negara ini mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957 dan melantik Duli Yang Maha Muliha Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang pertama, maka tengkolok pertama yang dipilih dan dipakai oleh baginda ialah jenis "Dendam Tak Sudah". Di bahagian hadapan tengkolok ini dihiasi dengan anak bulan dan bintang pecah sebelah yang diperbuat daripada emas putih yang bertatahkan 66 biji permata berlian dan di tengah-tengah bintang tersebut terletak lambang kerajaan Malaysia yang berwarna-warni.

Justar Diraja : Singa Menoleh
Sejenis ikatan kepala yang pernah dipakai oleh beberapa orang pengantin diraja dari negeri Johor diberi nama "justar" Justar asal diperbuat daripada emas dan telah dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ismail, Johor, semasa istiadat perkahwinan baginda dengan Ungku Tun Aminah yang berlangsung pada tahun 1920; ketika itu baginda masih menjadi Tengku Mahkota. Ikatan kepala jenis ini telah direka khas oleh tukang-tukang Melayu untuk istiadat perkahwinan tersebut. Walau bagaimanapun bentuk ini sebenarnya ditiru daripada bentuk lama, yang berasal darni Riau. Tengkolok tersebut telah dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Abu Bakar; Bapa Johor Moden. Ikatan dan hiasan kepala seperti ini telah digunakan di negeri Johor lebih daripada satu kurun yang lampau. Satu bentuk lagi yang telah dipakai oleh Almarhum Sultan Ismail dikenali dengan nama 'Singa Menoleh'. Ikatan kepala ini masih tersimpan dengan baik di Istana Besar Johor Bahru.


Sumber dipetik dari http://malaysiana.pnm.my/ , buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka bertajuk "Barang Kemas Melayu Tradisi" oleh Mohd Kassim Haji Ali.